BINGKISAN ROHANI : : Hakikat Insan : :

~::Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para nabi dan hafazan para rasul, serta ilham daripada para malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih::~

Tuesday 27 September 2011

~:: Senyum Tak Perlu Kata Apa-apa::~

Senyum itu sedekah, senyum itu awet muda, senyum itu kemesraan, senyum itu pengikat sahabat, senyum itu penambah kasih, senyum itu pelaris jualan, senyum itu pengiktirafan, senyum juga pemanis wajah, senyum menambahkan kecantikan dan yang pastinya senyuman itu membawa kebaikan.

Senyum juga perlu dimasukkan roh ikhlas, senyum ikhlas adalah senyum kerana Allah, senyum kerana menyahut perintah Allah dan Rasul. Orang Islam disuruh senyum dan dilarang sombong dan sombong diri.
___________________________________________

Senyum biarlah pada tempatnya.
_____________________________________________

Senyum mesra datang dari hati yang baik, tulus dan ikhlas, senyum rekaan ialah senyuman pura-pura dan kejahatan.

Orang yang mindanya terbuka dan bersangka baik akan melahirkan senyuman yang ikhlas, orang yang bahagia senang mengukirkan senyuman, senyumannya kelihatan manis dan indah.

Orang yang sedang menghadapi tekanan jiwa sukar melahirkan senyuman, senyumannya kelihatan kurang indah dan tawar serta kurang menarik.

Senyumlah selalu bila bertemu kawan, senyum tidak menggunakan banyak tenaga tetapi ianya mempunyai banyak kebaikan, disenangi anak isteri, rakan taulan, jiran tetangga dan sudah tentulah yang paling istimewa dikasihi Allah.
 
Senyuman melahirkan kegembiraan dan kebahagiaan serta mendekati Allah, bersamanya rahmat dan nikmat yang tidak dapat dijual-beli. 

Monday 26 September 2011

~::TABARRUJ MENURUT ISLAM ::~

Tabarruj adalah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai, tetapi tanpa membuka bahagian–bahagian sulit (aurat). Ini dibatasi dengan tanpa membuka bahagian-bahagian sulit (aurat) kerana Tabarruj dengan memperlihatkan aurat adalah dilarang tanpa mengambil kira samada seseorang wanita itu menarik perhatian ataupun tidak.

Isunya bukanlah kerana tidak menutupi aurat, contohnya perbuatan seperti memakai make-up dimuka, dijari, ditudung atau baju atau menghiasi kaki seperti memakai gelang kaki. Kesemua perbuatan berhias ini, jika tidak menjadi kebiasaan di kawasan dimana seseorang wanita itu tinggal, dan perhiasan ini menarik perhatian, maka ini dipanggil Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Jadi, contohnya, jika seseorang wanita itu mewarnai kukunya didalam sebuah kampung yang kebiasaan wanita-wanitanya tidak mewarnai kuku mereka, maka perbuatan berhias ini akan menarik perhatian, dan ini adalah dilarang, walaupun tapak tangan bukanlah aurat.

Dan jika dia berjalan, kedengaran bunyi gelang kakinya dan menarik perhatian kepada perhiasan dikakinya, walaupun kakinya tertutup, ini juga dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Jika seseorang wanita itu memakai sehelai tudung broked yang bukan kebiasaannya, dan ini menarik perhatian, maka ini dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun rambutnya terlindung.

Jika seseorang wanita itu memakai Jilbab (jubah) yang mempunyai motif dibahagian dada yang boleh menarik perhatian, maka ini adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun Jilbab adalah pakaian yang Shar’ei.

Oleh yang demikian, berpakaian menutupi aurat, tetapi menarik perhatian adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Manakala berpakaian dengan membuka aurat adalah sama sekali dilarang samada ia menarik perhatian ataupun tidak.

Dalil tentang perkara ini adalah;“Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [TMQ An-Nur (24):31].

Seseorang wanita itu dilarang untuk berjalan dengan cara yang boleh menarik perhatian kearah gelang kakinya walaupun kakinya tertutup. Oleh itu, berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Kesimpulan: Berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Berpakaian dengan cara yang membuka aurat adalah sama sekali dilarang, tidak kira samada ia menarik perhatian ataupun tidak. Sudah semestinya membuka aurat adalah sesuatu yang dilarang.

Oleh itu, berpakaian walaupun dengan cara yang dibenarkan tetapi menarik perhatian seperti yang diterangkan diatas, adalah Tabarruj dan dilarang. Ini hanya boleh diketahui dari keadaan dan realiti persekitaran dimana wanita tersebut tinggal dan untuk mengetahui kebiasaan disana tidak sukar kerana komuniti – lelaki dan wanita boleh menilai dan mengetahuinya.

Menarik perhatian adalah penentu samada berpakaian itu adalah Tabarruj atau pun tidak. Manakala berpakaian yang tidak menutup aurat pula bukan terletak pada hukum Tabarruj, tetapi pada hukum aurat dan dalil-dalilnya adalah jelas, dimana seseorang wanita itu dilarang untuk membuka auratnya ,walaupun tidak menarik perhatian. Allah Subhanahu wa Taala berfirman :“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka …..” [TMQ An-Nur (24) : 31]

“kecuali yang (biasa) nampak daripadanya” bererti muka dan dua tapak tangan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (semoga Allah merahmatinya), Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, pernah bersabda,

“Jika seorang anak perempuan itu telah baligh, hanya muka dan kedua tapak tangannya yang boleh kelihatan” [Riwayat Abu Dawud]

Oleh yang demikian, menurut dalil-dalil yang diberi, seseorang wanita itu tidak boleh memperlihatkan selain dari muka dan dua tapak tangannya kecuali kepada suami dan mahramnya. Inilah kewajipan untuk memakai Khimar yang sesuai untuk menutupi rambut dan leher dan melabuhkannya kedada, supaya tiada yang kelihatan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Allah Subhanahu wa Taala berfirman;

“Dan hendaklah mereka menutup kain tudung kedadanya…” [TMQ Al-Nur (24) : 31]
yang bermaksud melilit tudung kebahagian pembukaan baju supaya leher tidak kelihatan dan tudung akan menutupi bahagian kepala, telinga dan leher, hanya kelihatan muka dan tapak tangan sahaja.


Oleh: Sheikh Ata ibn Khaleel Abu al-Rashta
Sumber: Islamic revival

Tuesday 20 September 2011

~::Andai Itu Takdirnya::~

Andai itu takdirnya terimalah seadanya. Sudah tentu terselit hikmah disebalik musibah. Cuba kita perhatikan bunga mawar yang mekar kemerahan, sungguh cantik. Namun awas durinya mampu melukakan kita. Begitulah setiap yang indah bukannya mampu diraih dengan mudah namun perlu meredah berbagai mehnah, gunung perlu didaki lurah perlu dituruni. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Kadangkala kita sering lupa bahawa kita hanyalah hamba di bumi tuhan.Tidak layak kita membantah takdirnya. Namun kekadang tersungkur jua. Hati dalaman membentak ganas. "Mengapa tuhan?" Jika begitu cepat-cepatlah kembali kepada fitrah. Kita hanyalah seorang hamba tumpangan yang singgah sebentar menyemai amal untuk hari yang dijanjikan tuhan.
Siapa berusaha dia berjaya. Man jadda wajada waman zara'a hasoda. Hasilnya berlandaskan keikhlasan dan teguhnya iman. Siapa banyak amalnya, sekelip mata lepas titian sirat, siapa kurang amal timbangannya, mungkin terjatuh di tengah perjalanan. AWAS!
Andai itu takdirnya, katakanlah Ya Allah aku redha dengan pemberianmu. Biar setinggi mana halangan akan ku sahut, biar sejauh mana haluan, akan ku tempuh. Biar bermandi darah sekalipun akan ku berjuang hingga ke titik yang terakhir. Tidak sekali ku mengalah walaupun sesekali lelah. Indahnya jika begini wahai sahabat. Namun bukanlah semudah lafaz bicara. Hanya orang-orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa yang mampu lakukannya. Jadilah diri kita menuju kearah itu. Insya-Allah.
Lipatan sejarah terpapar. Kesusahan mengajar erti kematangan. Kegetiran mendidik erti kecekalan. Junjungan Besar kita dari kecil di duga, kehilangan bapa ketika masih belum sempat melihat dunia, kemudian ibunya menyusul pergi ketika baginda masih memerlukan seorang ibu. Jadilah baginda yatim. Tanpa berkeluh baginda tempuh. Ketika masih dahaga curahan kasih dari datuknya, Allah terlebih dahulu memanggil.
Tinggallah pula baginda bersama bapa saudaranya. Di situ terpapar jiwa besar baginda. Biarpun masih kecil baginda sudah bekerja. Mengembala kambing benar-benar mendidik baginda supaya sabar dan cekal. Ini hasilnya. Baginda mampu menyebarkan Islam di bumi tuhan walau berbagai rintangan dan cabaran. Di situlah hikmah sabar. Di situlah terselit kemanisan berjuang. Misi diimpi menjadi realiti.
Lihat pula Bilal bin Rabbah si hamba habsyi. Di hatinya hanya ada tuhan. Tidak sanggup menyerah demi akidah. Ahad! Ahad! Ahad!. Kemudian, Si Hamzah singa Allah. Tidak sesekali hatinya gerun. Demi Allah dan Rasulullah dia sanggup berjuang.
Biar hati dilapah namun Syurga yang diterjah. Sungguh Indah! Ramai lagi yang berjiwa besar. Namun mereka tetap sabar. Kerana mereka ada buah iman, mereka punya akar takwa. Sesukar mana dugaan bukan halangan. Cuma semangat yang perlu dikocakkan. Iltizam yang perlu dinyalakan. Mereka sudah membuktikan, kita bila lagi!
Andai kita diuji dengan kematian orang yang kita sayangi, jangan terlalu bersedih doakanlah untuknya. Sampai masa kita pula menyusul.
Andai kita diuji dengan sebuah perpisahan, yakinlah jika kita tidak berjumpa di dunia. Insya-Allah di syurga yang kekal abadi.
Andai kita diuji dengan kemiskinan bersyukurlah kita masih lagi mampu bernafas di bumi tuhan. Jadi banyakkanlah amal supaya kita kaya di sana.
Andai kita diuji dengan kesenangan. Ucaplah Alhamdulillah akan aku agihkan rezeki tuhan kepada yang memerlukan.
Andai kita diuji dengan kesusahan janganlah goyah. Sahutlah cabaran dengan hati yang gagah kerna itu yang mendewasakan kita dalam musafir panjang.
Wahai sahabat andai itu takdirnya. Terimalah seadanya. Janganlah berkeluh lalu lumpuh. Ayuh kita semarakkan perjuangan di bumi tuhan agar kita mendapat manfaatnya di hari kemudian. Setiap musibah ada hikmah. Ubat itu pahit namun menyembuhkan. Jika ingin ke puncak mesti mendaki. Bukannya hanya merenung tanpa bertindak. Yakin akan janjinya. Tuhan tidak pernah berdusta.